Kes bunuh di Tawau: Reman lapan anggota polis dilanjut seminggu
Bernama
Februari 1, 2023
Kes bunuh di Tawau: Reman lapan anggota polis dilanjut seminggu
Sebelum ini mereka direman selama tujuh hari yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- Gambar hiasan
TAWAU: Tempoh reman lapan anggota polis termasuk empat pegawai kanan bagi membantu siasatan kes bunuh pemandu e-hailing di sebuah ladang sawit di sini pada 13 Jan lepas, dilanjutkan tujuh hari lagi bermula hari ini.
Majistret Dzul Elmy Yunus membenarkan permohonan lanjutan reman oleh polis pada prosiding di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini hari ini.
Sebelum ini mereka direman selama tujuh hari yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jenayah | Wanita didakwa bunuh pemandu e-hailing warga emas
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah dilapor berkata kes bunuh itu bermotifkan cemburu dan lebih bersifat peribadi serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.
Pada 30 Jan lepas, seorang penganggur, Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, di sini antara 7.30 hingga 9 malam, 13 Jan lepas.
-- BERNAMA