PRU15: PN umum Radzi Jidin bertanding di Putrajaya
Bernama
Oktober 26, 2022
PRU15: PN umum Radzi Jidin bertanding di Putrajaya
Pengumuman Radzi sebagai calon Putrajaya dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
Pengumuman Menteri Kanan Pendidikan itu sebagai calon Putrajaya dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu, pada program Jelajah Prihatin PN Parlimen Putrajaya, di sini, malam ini.
backup_ads
Radzi pada PRU14 bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun kalah kepada Tan Sri Annuar Musa. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018.
Pada PRU14, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Samsu Adabi Mamat.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan slogan PN untuk PRU15 iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil dengan laungan PN Best! .
"Ini tagline yang kita akan laungkan pada PRU15 dan PN Best adalah harapan kita," katanya.
PN dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dengan penamaan calon pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov ini.