'RIUH BENOR!' sasar 20,000 pengunjung
Bernama
Oktober 19, 2022
'RIUH BENOR!' sasar 20,000 pengunjung
Program Kembara RIUH Keluarga Malaysia (KRKM), 'RIUH BENOR!', akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini. - Foto Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM)
KUALA LUMPUR: Seramai 20,000 pengunjung disasarkan menghadiri edisi kelima program Kembara RIUH Keluarga Malaysia (KRKM), 'RIUH BENOR!', yang akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak.
KRKM, yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) melalui Kumpulan MyCreative (MyCreative), bertujuan memperkasakan penggiat dan usahawan industri kreatif tempatan di seluruh negara dan menghubungkan komuniti kreatif dengan masyarakat, serta mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam memulihkan industri kreatif susulan pandemik COVID-19.
MyCreative, dalam kenyataan pada Selasa, memaklumkan Perak dipilih bagi KRKM kali ini kerana ia bukan sahaja tersohor sebagai sebuah negeri yang kaya dengan warisan budaya dan seni kreatif termasuk Rebana Perak, Tarian Belotah dan pelbagai busana menarik, malah turut terkenal dengan pelbagai masakan tradisional seperti Nasi Lemuni, Ikan Pindang Daun Seniar dan Kebebe.
Seperti program KRKM sebelum ini, 'RIUH BENOR!' bakal menyajikan pertunjukan budaya, persembahan muzik dan tarian, pameran seni, kedai pop-up, aktiviti komuniti, dan bengkel kreatif seperti membuat pasu daun konkrit, minyak wangi, tali gantung pokok, lilin soy wax dan mewarna topi.
Program RIUH sebelum ini hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang, dan mula "terbang" ke Johor, Sabah, Melaka, dan Kelantan sejak awal 2022 melalui siri Kembara RIUH Keluarga Malaysia.
Menurut MyCreative, edisi keempat di Kelantan berjaya memecah rekod apabila kira-kira 60,000 pengunjung hadir dan menyokong industri kreatif di 'RIUH SOKMO! Bersama Celcom'.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative, Junady Nawawi, dalam kenyataan sama, berkata program KRKM setakat ini telah dapat mewujudkan kira-kira 3,238 peluang pekerjaan serta menyokong 2,053 penggiat dan perniagaan industri kreatif, dan bakal meneruskan momentum positif demikian di Ipoh.
"Keseluruhan program KRKM dijangka mewujudkan lebih 7,000 peluang pekerjaan dan menyokong lebih 5,000 penggiat dan perniagaan kreatif tempatan di 14 lokasi serata tanah air," katanya.
-- BERNAMA