Translate

08 April 2022

Tidak Masuk Akal ! - Denda ketidakpatuhan penandaan MS SIRIM bagi pelitup muka bukan perubatan adalah terlalu tinggi dan tidak wajar.








 MS SIRIM | Pelitup Muka : Denda terlalu tinggi, tidak wajar

 Denda ketidakpatuhan perakuan dan penandaan MS SIRIM bagi pelitup muka bukan perubatan yang akan dikuatkuasakan mulai 4 Julai depan adalah terlalu tinggi dan tidak wajar.

Dendanya tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 3 tahun  atau kedua dua sekali

Jumlah dendanya jauh lebih tinggi daripada Denda untuk mereka yang tak pakai Pelitup Muka yang hanya RM1000. 00



HARIAN METRO

APRIL 7, 2022

Putrajaya: Kerajaan menangguhkan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 sehingga 1 Januari 2023.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penangguhan itu mengambil kira maklum balas diterima daripada masyarakat umum dan pelbagai pihak.


Katanya, perintah itu diwartakan pada 5 April lalu sepatutnya berkuat kuasa pada 4 Julai ini, manakala Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 yang diwartakan pada tarikh sama berkuat kuasa pada 3 Ogos.


"Tujuan pewartaan ini adalah untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik yang dihasilkan dalam negara ataupun diimport mempunyai penandaan MS Sirim, mematuhi standard dan berkualiti demi keselamatan pengguna.



"Usaha ini juga diambil bagi meningkatkan perlindungan dan keselamatan pengguna melalui pembudayaan standard serta mengatasi masalah lambakan barangan sub-standard dalam pasaran tempatan," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Menteri Bersama Pihak Industri di sini, hari ini.



Alexander berkata, pengilang dan pengimport kedua-dua produk berkenaan wajib membuat perakuan dan memperoleh penandaan MS Sirim daripada Sirim Qas International Sdn Bhd yang merupakan pihak berkuasa lantikan kementerian.


"Tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport, yang mana syarikat boleh didenda tidak melebihi RM200,000, manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.


"Bagi individu (pengeluar/pengimport) boleh didenda tidak melebih RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, sementara denda tidak melebihi RM250,00 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua atau berikutnya," katanya.


Menurutnya lagi, pewartaan itu adalah inisiatif kerajaan atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.


"KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport " katanya yang turut memberitahu pihaknya yakin harga produk tidak akan meningkat.


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED