Polis siasat video anggota terima rasuah di Pulau Pinang
12 April 2022
SEBERANG PERAI, 12 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan mengenai satu video tular memaparkan anggota polis menerima rasuah melalui aplikasi tiktok yang dipercayai berlaku di Bagan Ajam, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Pulau Pinang, Asisten Komisioner Polis Mohd Radzi Ahmad berkata, pada jam 10.00 pagi pihaknya telah mengesan satu klip video berdurasi 1.01 minit yang dimuat naik oleh pemilik akaun tiktok iqalice.
“Rakaman video tersebut telah memaparkan dakwaan anggota polis menerima rasuah daripada seorang lelaki yang berlaku berdekatan dengan Ambank Jalan Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang,
“Satu laporan polis telah dibuat oleh lelaki tersebut pada hari yang sama jam 11.30 pagi di Balai Polis Simpang Ampat daerah Seberang Perai Selatan bernombor repot, 2122/22,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Mohd Radzi berkata, kes tersebut disiasat di bawah Sek 384 Kanun Keseksaan.
Tambahnya lagi, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis sekiranya berlaku salah laku dalam kalangan anggota. – airtimes.my