Translate

22 December 2021

Penduduk terkejut biawak 60kg muncul depan rumah

 Penduduk terkejut biawak 60kg muncul depan rumah

22/12/2021 07:16 PM





KUALA NERUS, 22 Dis -- Kemunculan seekor biawak seberat 60 kilogram di hadapan pintu rumah mengejutkan seorang penduduk di Taman Permint dekat Seberang Takir, di sini pagi tadi.


Penjawat awam Ronzi Abdullah, 50, berkata biawak sepanjang 2.7 meter tersebut ditemui anaknya Mia Halimaton Zulaiha, 20, yang ketika itu sedang memanaskan enjin kereta sebelum keluar bekerja.


“Pada waktu itu anak (Mia Halimaton Zulaiha) berseorangan di rumah dan ingin ke tempat kerja. Dia mengunci pintu dan panaskan enjin kereta. Sambil tunggu enjin (kereta) panas, dia keluar buang sampah di hadapan rumah, sebelum terlihat biawak tersebut di hadapan pintu.


“Terkejut melihat biawak yang sangat besar, anak saya pun segera tutup pintu jeriji bagi mengelakkan haiwan tersebut terlepas dan menghubungi saya yang ketika itu berada di tempat kerja. Besar kemungkinan biawak berkenaan terlebih dahulu bersembunyi di bawah keretanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permint dekat Seberang Takir, di sini hari ini.


Ronzi berkata jirannya Nurul Diana Ariffin, 38, yang turut menyedari kejadian itu terus menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan pertolongan.


Katanya, kemunculan biawak bersaiz besar tersebut adalah kejadian kedua di kawasan perumahan itu selepas haiwan sama yang juga bersaiz besar ditemui di rumah jirannya, kira-kira tiga bulan lepas.


Sementara itu, Pegawai Pasukan Bahagian Operasi Pertahanan Awam Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Lt. M (PA) Edie Azhar Ramli berkata pihaknya menerima panggilan pada 10 pagi tadi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.


Katanya, APM dengan kekuatan lima anggota mengambil masa selama 30 minit untuk menangkap reptilia tersebut memandangkan saiznya yang besar dan bertindak agresif.


“Biawak bersaiz begini sangat berbahaya kerana ia mampu memakan atau mencederakan bayi dan libasan ekornya juga boleh mencederakan kanak-kanak. Apabila biawak itu bergelut, anggota kami terpaksa mengambil masa menenangkannya kerana ia sangat berat,” katanya sambil memaklumkan haiwan tersebut akan dilepaskan ke habitat asal yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.


Dalam pada itu, Edie Azhar tidak menolak kemunculan biawak itu disebabkan air longkang yang bertakung akibat hujan pada musim tengkujuh ini, membolehkan reptilia itu menyusur daripada habitatnya di kawasan berhampiran dengan air seperti paya, sungai dan kolam.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED