Dewan Rakyat |
Kemenangan KL City raih ucapan tahniah di Dewan Rakyat
BERNAMA
Kuala Lumpur, 1 Dis -- Kejayaan Kuala Lumpur City (KL City) menjulang Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, mendapat pujian dan ucapan tahniah dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias sebelum menjawab soalan pada sesi soal jawab, berkata kemenangan KL City sempena ulang tahun ke-100 Piala Malaysia adalah kejayaan manis buat warga Wilayah Persekutuan setelah kali terkahir memenanginya 32 tahun lepas.
“Saya mewakili Menteri Wilayah Persekutuan dan warga Kementerian Wilayah Persekutuan mengucapkan syabas kepada pemain dan penyokong KL City,” katanya sebelum menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung peranan dan perbelanjaan diterima Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Antara Ahli Parlimen yang turut mengucapkan tahniah adalah Fong; Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) dan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).
Semalam, KL City menewaskan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan jaringan 2-0 selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.