Translate

12 April 2025

Kedatangan semula Manchester United satu detik bermakna - Presiden FAM



Kedatangan semula Manchester United satu detik bermakna - Presiden FAM

Bernama

12/04/2025


Aksi persahabatan yang diberi nama Maybank Challenge Cup itu bakal menyaksikan Manchester United menentang skuad ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini. - Gambar fail/FB Manchester United


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menyifatkan kehadiran semula kelab tersohor Liga Perdana Inggeris, Manchester United, ke Malaysia selepas 16 tahun sebagai detik bermakna buat bola sepak negara.

Menurutnya, perlawanan tersebut bukan sahaja menjanjikan aksi bertaraf dunia, malah menjadi lambang kemajuan dan perkembangan budaya bola sepak di rantau ini.

Aksi persahabatan yang diberi nama Maybank Challenge Cup itu bakal menyaksikan Manchester United menentang skuad ASEAN All-Stars bimbingan ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Kim Sang Sik, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.

"Perlawanan ini istimewa buat Malaysia kerana ia eksklusif untuk negara dalam kalangan negara ASEAN. Menjadi tuan rumah kepada kelab sebesar Manchester United adalah satu penghormatan besar untuk bola sepak Malaysia dan rantau ini.

"Perlawanan ini juga bakal memperkukuh budaya bola sepak yang semakin berkembang di ASEAN. Kami menyeru para penyokong hadir beramai-ramai ke stadium dan memberi sokongan padu yang akan dikenang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth menyifatkan perlawanan tersebut sebagai satu detik bersejarah buat bola sepak rantau ini.

"Menonton pemain terbaik rantau ini menentang salah satu kelab terbesar dunia bukan sahaja satu pengalaman bersejarah, malah menjadi penanda aras kepada mutu bola sepak ASEAN.

"Pertembungan ini turut melambangkan keyakinan, komitmen dan perpaduan dalam kalangan negara anggota," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada siri jelajah pramusim 2009, apabila mereka menewaskan Malaysia XI dua kali -- 3-2 dan 2-0 -- masing-masing pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain perlawanan di Malaysia, juara Eropah tiga kali itu turut memaklumkan bahawa jelajah pascamusim mereka akan diteruskan dengan aksi menentang Hong Kong pada 30 Mei di Stadium Hong Kong.

Ini merupakan kepulangan semula Manchester United ke Asia selepas kemenangan 4-0 ke atas Liverpool di Bangkok pada Julai 2022, manakala kali terakhir mereka beraksi di Hong Kong ialah pada 2013.

Selepas siri jelajah di Asia, skuad The Red Devils akan menentang Leeds United di Stockholm pada 19 Julai sebelum berlepas ke Amerika Syarikat untuk menyertai Siri Musim Panas Liga Perdana.

Mereka dijadual bertemu West Ham United (26 Julai), Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Los angeles viewed 'Ringgit ditutup tinggi berikutan tindak balas kera' 4 mins ago
A visitor from Ashburn viewed 'Ahmad Zahid ucap tahniah kepada PM Wong atas kemen' 5 mins ago
A visitor from Ashburn viewed 'Ringgit ditutup tinggi berikutan tindak balas kera' 5 mins ago
A visitor from Rawang viewed 'Agong today presented the instruments of appointme' 6 hrs 36 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'KKM teliti permi' 6 hrs 50 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Mi tikus, nama ganjil tapi enak | BEST FBKL' 7 hrs 3 mins ago
A visitor from Paris viewed 'BEST FBKL' 7 hrs 14 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Campaign money not used, Syed Saddiq transfered fu' 9 hrs 10 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Polis tembak mati tiga individu terlibat sindiket ' 9 hrs 10 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed '63ft Lamborghini Yacht Sinks Near Miami' 9 hrs 11 mins ago