Translate

19 December 2024

Rakyat Malaysia ditahan di Teluk Guantanamo selamat tiba di tanah air - KPN



Rakyat Malaysia ditahan di Teluk Guantanamo selamat tiba di tanah air - KPN

Bernama

18/12/2024


Razarudin berkata Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep akan menjalani proses pemulihan terlebih dahulu sebelum kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar


KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo, Cuba sejak 18 tahun lepas, selamat tiba di tanah air hari ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep akan menjalani proses pemulihan terlebih dahulu sebelum kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Kedua-dua individu ini diterima dalam keadaan baik dan sihat. Mereka sangat bersyukur dapat kembali ke tanah air dan akhirnya pulang ke pangkuan keluarga.

"Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan supaya mereka menjalani proses penilaian dan seterusnya memasuki fasa pemulihan secara komprehensif sebelum direintegrasi ke dalam masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata kedua-dua mereka mempamerkan sikap yang positif dan terbuka untuk dinilai dan dipulihkan serta menyatakan komitmen tinggi untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang progresif.

"Semua orang berhak mempunyai peluang kedua dan PDRM akan memastikan mereka berjaya mencapai peluang terbabit," katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata Amerika Syarikat menyerahkan kembali dua rakyat Malaysia itu yang ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006.

Mohammed Farik atau Zaid (Zubair) dan Mohammed Nazir atau Bashir Lep (Lillie), ditahan di kem berkenaan atas dakwaan terbabit dalam kumpulan militan Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda sejak 2003.

Pada 30 Ogos 2021, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir dihadapkan ke Mahkamah Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Teluk Guantanamo berhubung insiden pengeboman di Bali, Indonesia kira-kira 19 tahun lepas.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED