Mahkamah tolak petisyen BN, Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah
ASTRO AWANI
Februari 7, 2023
Mahkamah tolak petisyen BN, Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah
Barisan peguam yang mewakili Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (gambar kecil). - Gambar Astro AWANI
AYER KEROH: Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Tinggi Melaka hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menolak petisyen yang difailkan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid dan memerintahkannya membayar kos perundangan kepada Mas Ermieyati sebagai responden.
Anselm Charles dalam penghakimannya berkata, daripada empat asas bantahan awal yang dikemukan oleh peguam plaintif, dua daripadanya mempunyai merit untuk ditolak di bawah Seksyen 36 (1) Akta kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ia termasuk petisyen difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 akta sama serta pempetisyen gagal menjelaskan dan membuat perincian berhubung wujud unsur sokongan oleh beberapa individu yang dikaitkan dengan responden yang didakwa dilantik sebagai ejennya.
Mas Ermieyati diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu manakala Abdul Hakim diwakili peguam Rosfinah Rahmat.
Rosfinah ketika ditemui bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari bagi membolehkan petisyen yang difailkan dapat dibicarakan.
Abdul Hakim pada 3 Januari lalu dilaporkan memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.
Bantahan awal itu, yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan.
Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket PN, menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman daripada parti MUDA dan Handrawirawan Abu Bakar (Gerakan Tanah Air).