JIM aktifkan QRT atasi kesesakan di pintu masuk negara
Bernama
Februari 1, 2023
JIM aktifkan QRT atasi kesesakan di pintu masuk negara
Khairul Dzaimee berkata melalui penugasan QRT tersebut, JIM komited untuk membuka semua kaunter pemeriksaan masuk pelawat asing khususnya pada waktu puncak. - Gambar fail
SEPANG: Jabatan Imigresen (JIM) mewujudkan Quick Response Team (QRT) sebagai langkah proaktif menangani kesesakan di pintu masuk negara terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2, serta Tambak Johor.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata ia susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lepas, yang meminta JIM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menambah bilangan pegawai bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tambak Johor bagi menyelesaikan isu kesesakan di pintu masuk sempadan itu.
"Pada hari ini kita mengaktifkan QRT di KLIA, dianggotai seramai 30 pegawai JIM yang akan bertugas di 26 kaunter di Balai Ketibaan Luar Negara, KLIA semasa waktu puncak iaitu antara 2 petang hingga 8 malam setiap hari.
"Seramai 12 pegawai telah mula bertugas hari ini dan mereka dapat memenuhi kaunter-kaunter yang kosong sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan pelaksanaan QRT di KLIA, di sini hari ini.
Selain itu, katanya QRT juga akan ditempatkan di BSI dan KSAB dengan 40 pegawai JIM daripada bahagian penguatkuasaan dan bahagian tugas-tugas am mula bertugas 6 Feb ini.
Khairul Dzaimee berkata melalui penugasan QRT tersebut, JIM komited untuk membuka semua kaunter pemeriksaan masuk pelawat asing khususnya pada waktu puncak dan beliau yakin urusan kemasukan pelawat-pelawat asing khususnya di KLIA dan BSI dapat dipercepat terutama dari segi masa menunggu.
Menurut rekod jabatan itu, Khairul Dzaimee berkata sebanyak 495,210 pelawat asing telah masuk ke negara melalui KLIA pada bulan lepas atau 665 orang setiap jam.
Beliau berkata dengan adanya QRT ini, proses kemasukan yang boleh diurus oleh jabatan itu lebih cepat iaitu sebanyak 780 pelawat asing dalam tempoh satu jam atau 13 orang dalam seminit berbanding 495 pelawat dalam tempoh 47 minit sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata sebanyak 1,033 pasport telah dikeluarkan daripada Pejabat Pengeluar Pasport KLIA sejak mula beroperasi 19 Jan lepas.
"Saya baca di media sosial, pelanggan kami yang berurusan di pejabat pasport KLIA gembira kerana mereka memperoleh pasport dalam tempoh kurang sejam.
"Sebelum COVID-19, keadaannya memang begini. Mereka yang hendak memperbaharui pasport boleh menyelesaikan urusan dalam tempoh kurang sejam, namun selepas tempoh pandemik, berlaku pertambahan tiga kali ganda, menyebabkan masa lebih panjang diperlukan untuk memproses permohonan," katanya.
-- BERNAMA