Translate

03 March 2022

91 peratus daripada 113 kes BID tidak tahu mereka dijangkiti COVID-19




ASTRO AWANI
Mac 3, 2022 

Menurut Khairy, ahli keluarga mangsa hanya mengetahui pesakit dijangkiti COVID-19 selepas disaring di hospital. - Astro AWANI/Shahir Omar

SERDANG: Sebanyak 91 peratus daripada 113 pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di luar fasiliti atau Brought In Dead (BID) kesihatan tidak sedar mereka dijangkiti virus tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, data tersebut diperoleh daripada analisa Kementerian Kesihatan (KKM) pada 5 hingga 21 Februari lepas.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa hanya mengetahui pesakit dijangkiti COVID-19 selepas disaring di hospital.
 
“Sebab itu saya keluarkan nasihat terutamanya yang ada ibu bapa, yang berusia warga emas, kalau ada apa-apa gejala, demam suhu tinggi, batuk berterusan, tolonglah bawa ke fasiliti kesihatan secepat mungkin.

“Melalui survey kita buat, lebih daripada 50 peratus waris anggap bahawa sakit mereka (pesakit) adalah sakit ringan dan mereka tak merujuk pada fasiliti kesihatan dengan cepat.

“Apabila dikesan terlalu lambat, mereka meninggal dunia di rumah dan luar daripada fasiliti kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hospital Serdang.





COVID-19: 115 kematian pada 2 Mac, tertinggi sejak Omicron melanda
ASTRO AWANI
Mac 3, 2022 

Khairy Jamaluddin berkata, angka kematian itu juga merupakan jumlah tertinggi sejak 7 Oktober lepas yang merekodkan sebanyak 132 kematian. - Foto ASTRO AWANI/SHAHIR OMAR

SERDANG: Sebanyak 115 kematian akibat COVID-19 dilaporkan pada 2 Mac, jumlah tertinggi sejak varian Omicron melanda Malaysia.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, angka kematian itu juga merupakan jumlah tertinggi sejak 7 Oktober lepas yang merekodkan 132 kematian.

Begitupun, jelasnya, bilangan kematian yang diumumkan bukan merupakan jumlah kematian yang terjadi dalam masa satu hari.
 
“Satu pelaporan kematian adalah dalam masa 72 jam, dan kes-kes yang memerlukan siasatan lanjut seperti kajian, bedah siasat, ujian makmal dan sebagainya. Ia boleh mengambil sehingga empat hingga enam minggu untuk dilaporkan dan diumumkan.

“Pada 2 Mac, daripada 115 kematian diumumkan, 62 kematian atau 54 peratus berlaku dalam 72 jam manakala selebihnya, 53 kematian adalah melebihi 72 jam.

“Ini menunjukkan bahawa, dari pelaporan yang kita buat, kita terbitkan data, sebenarnya hampir separuh telah meninggal dunia lebih daripada 72 jam,” katanya.

Tambah beliau, KKM perlu mengubah cara pelaporan selepas ini supaya mendapat petunjuk lebih jelas mengenai apa yang berlaku sekarang, terutamanya berkaitan Omicron.

Khairy berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hospital Serdang di sini hari ini

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED