Translate

09 April 2020

Seorang wanita yang diarah menjalani kuarantin selama 14 hari dan abangnya ingkar PKP dikompaun RM1,000


09/04/2020 07:40 PM
KUALA PILAH, 9 April -- Seorang wanita yang diarah menjalani kuarantin selama 14 hari di Johor Baharu selepas pulang dari Singapura dan abangnya yang menjemput beliau dari stesen bas masing-masing dikompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka menjadi yang pertama dikompaun di Kuala Pilah selepas polis menguatkuasakan tindakan itu semalam terhadap individu yang didapati ingkar PKP.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintenden Amran Mohd Ghani berkata dua beradik itu telah ditahan dalam sekatan jalan raya di Ulu Bendul di sini pada 10.50 malam tadi.

Berdasarkan siasatan awal, wanita berusia 26 tahun itu, yang sepatutnya menjalani proses kuarantin, bertindak melanggar arahan dengan pulang menaiki bas hingga ke Seremban dan kemudian dijemput abangnya yang berusia 29 tahun dari Bahau dengan kereta, katanya.

Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11 akta sama.

“Mereka telah dibawa ke Balai Polis Melang seterusnya dikenakan tindakan kompaun RM1,000 setiap seorang mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Mengenai tindakan wanita berkenaan yang tidak mengkuarantin dirinya di Johor Baharu, kita tidak mengambil tindakan atas perbuatan itu memandangkan pihak polis telah menguatkuasakan kompaun terhadap individu yang ingkar PKP bermula semalam," katanya.

Bagaimanapun, Amran berkata wanita itu kemudian telah dibawa ke Institut Aminuddin Baki di Nilai oleh pasukan Pejabat Kesihatan Kuala Pilah untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Bayaran kompaun itu perlu dilunaskan dalam tempoh dua minggu di Pejabat Kesihatan daerah berhampiran dan mereka boleh didakwa di mahkamah jika gagal berbuat demikian. Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kompaun kepada pesalah PKP akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED