Translate

25 December 2024

Gagal yakin penaja punca sukar dapat tajaan - Hannah



Gagal yakin penaja punca sukar dapat tajaan - Hannah

Bernama

25/12/2024


Hannah (foto) berkata kegagalan itu antaranya berpunca daripada cadangan yang dihantar kepada pihak berkenaan turut memasukkan perkara-perkara tidak perlu. -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berpandangan industri sukan di Malaysia sebenarnya tidak berdepan masalah kekurangan penajaan sebaliknya kurang berjaya meyakinkan pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan bahawa industri sukan di Malaysia tidak kekurangan penajaan tetapi kurang berjaya meyakinkan penaja kerana cadangan yang dihantar sering mengandungi perkara tidak perlu. Penaja mahu dana digunakan untuk pembangunan sukan, bukan untuk perbelanjaan lain.

Hannah menyebut pelepasan cukai sukan bernilai RM1,000 untuk yuran latihan sukan sebagai pengubah keadaan industri sukan negara. Pelepasan cukai ini akan diperluas kepada ibu bapa pembayar cukai mulai tahun hadapan, memberi manfaat kepada semua golongan.

Untuk tahun 2025, Hannah akan memberi tumpuan kepada pembangunan belia dan Rakan Muda, serta melancarkan taska di Kuala Lumpur Sport City untuk atlet yang mempunyai anak.

Beliau berkata kegagalan itu antaranya berpunca daripada cadangan yang dihantar kepada pihak berkenaan turut memasukkan perkara-perkara tidak perlu.

"Kalau penaja bagi duit, mereka nak ia digunakan untuk pembangunan sukan dan tidak hendak lihat ia digunakan untuk bayar gaji atau guna untuk bukan-bukan.

"Sama seperti kita juga yang beri geran padanan sukan 30-40 juta setahun, kita ada buat penilaian senarai perbelanjaan mereka. Kadang ada dalam cadangan itu perkara yang kita rasa tidak perlu," katanya dalam siar pod SAMBANG di platform YouTube Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) semalam.

Dalam pada itu, Hannah menyifatkan pelepasan cukai sukan bernilai RM1,000 meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan menjadi pengubah keadaan industri sukan negara.

Malah, beliau gembira apabila pelepasan cukai itu diperluas kepada golongan ibu bapa pembayar cukai bermula tahun hadapan.

"Jika anda pembayar cukai, bukan sahaja anak bakal mendapat manfaat ini tetapi juga ibu bapa, datuk nenek mereka.

"Sebab kita nak ada sukan untuk semua golongan dan ini pengubah keadaan yang kita perjuangkan," katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan perancangan bagi 2025, Hannah berkata beliau mahu memberikan tumpuan kepada pembangunan belia dan Rakan Muda.

Dalam masa sama, beliau juga akan melancarkan sebuah taska di Kuala Lumpur Sport City bagi golongan atlet yang mempunyai anak.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED