Translate

21 November 2024

Petugas AeroDarat didakwa kasari penumpang NTL di KLIA digantung tugas



Petugas AeroDarat didakwa kasari penumpang NTL di KLIA digantung tugas

Bernama

21/11/2024


Loke bercakap pada sidang media bersempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. -- fotoBERNAMA


KUALA LUMPUR: Petugas AeroDarat Services (ADS) yang didakwa mengasari seorang penumpang yang menerima Notis Penolakan Masuk (NTL) di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1) seperti yang tular di media sosial, telah diberikan surat tunjuk sebab dan digantung tugas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan itu bagi memberi laluan kepada ADS, yang menyediakan perkhidmatan pengendalian darat untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.

"Saya difahamkan petugas terlibat dalam insiden itu adalah petugas AeroDarat bukannya staf Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB). Petugas menyatakan bahawa ada provokasi daripada penumpang NTL.

"Situasi itu menyebabkan ada kekasaran fizikal dan ada kata-kata tidak cantik, kata-kata kesat dan sebagainya, apa pun keadaan memang kita tidak boleh pertahankan petugas itu," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen semalam.

Baru-baru ini tular video berdurasi 25 saat yang memaparkan insiden pergaduhan di KLIA Terminal 1 membabitkan dua individu, dengan polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata dalam apa juga situasi, petugas tersebut seharusnya bertindak secara profesional walaupun berdepan dengan penumpang yang kurang sopan.

Kakitangan AeroDarat digantung tugas sementara - Loke

Loke berkata mengikut prosedur ditetapkan, tanggungjawab menguruskan mana-mana penumpang NTL adalah di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan bukannya Jabatan Imigresen atau MAHB.

"Itu memang satu standard antarabangsa, semua lapangan antarabangsa pun sama. Dalam kes ini ada satu bilik yang disediakan oleh MAHB untuk meletakkan penumpang NTL sementara menunggu penerbangan balik," katanya.

NTL dikeluarkan ke atas penumpang atas pelbagai sebab antaranya memiliki rekod senarai hitam, tidak dapat membuktikan tujuan kedatangan seperti visa, tiket penerbangan pergi dan balik, hotel penginapan yang menjadi syarat imigresen di mana-mana negara.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED