Translate

22 July 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases-16 {Local-8 Imported-8} | Active-142 | Total-8831 | Discharged-8566 | Deaths-123





Kenyataan Akhbar KPK 22 Julai 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat empat (4) kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,566 kes (96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM -22 July-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 22 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 16 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,831 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 142 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 16 kes baharu yang dilaporkan, lapan (8) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat (4) warganegara Malaysia dan empat (4) bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja. Lapan (8) kes import tersebut adalah dari negara:

  • India (2 kes);
  • Rusia (2 kes);
  • Arab Saudi (1 kes);
  • China (1 kes);
  • Indonesia (1 kes); dan
  • Korea (1 kes).

Daripada lapan (8) kes penularan di dalam negara, tujuh (7) kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan satu (1) kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan untuk berlepas ke luar negara. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor

Perincian baki kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (7 kes) adalah :

  • Sarawak –  tujuh (7) kes:
    • Tiga (3) kes daripada Kluster Stutong;
    • Satu (1) kes daripada Kluster Sentosa
    • Satu (1) kes daripada Kluster PUI Melbourne. Kluster ini akan diperincikan di bawah;
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8695). Beliau merupakan ahli keluarga kepada kes tersebut;
    • Satu (1) kes saringan kembali bertugas di sekolah. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Sehingga kini, hanya lima (5) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Satu (1) kes  memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

GRAF-NEW-White-Update-case-number-covid-19-01 (14)

DUA (2) KLUSTER BAHARU DILAPORKAN HARI INI

KKM ingin memaklumkan dua (2) kluster baharu yang telah dikenalpasti pada hari ini, iaitu:

  1. Kluster Hyde Park

Kluster ini dikesan di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8769) merupakan seorang krew kapal bukan warganegara (iaitu dari negara Rusia). Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Mesir dan India. Kluster ini telah dikenalpasti susulan saringan COVID-19 yang telah dijalani oleh krew kapal tersebut sebelum pulang ke negara asal.

Sehingga 22 Julai 2020 jam 12 tengah hari, keseluruhannya 24 orang telah disaring, iaitu terdiri daripada:

  • Empat (4) kes positif COVID-19; dan
  • 20 adalah negatif.

Semua kes positif dalam kluster ini melibatkan bukan warganegara. Mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala kesemua kontak rapat yang negatif pula dikuarantin di kapal tersebut. Justeru, kluster ini tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut.

  1. Kluster PUI Melbourne

Kes indeks kluster ini merupakan seorang pelajar warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8749) yang telah pulang  dari Australia pada 15 Julai 2020. Beliau telah menaiki dua pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching. Dari Pintu Masuk Umum Kuching, Sarawak, beliau seterusnya dibawa ke pusat kuarantin di mana saringan COVID-19 didapati positif pada 17 Julai 2020. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan. Satu lagi kes positif telah dikesan dalam kluster ini. Kes kedua ini telah menaiki pesawat yang sama dengan kes indeks iaitu pesawat yang telah bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Sehingga 22 Julai 2020 jam 12 tengah hari, terdapat dua (2) kes positif COVID-19 dalam kluster ini. Seramai 21 orang kontak rapat yang terdiri daripada penumpang dari pesawat dan kenderaan awam yang berkaitan telah disaring dan masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih di dalam siasatan.

WAKTU MELAWAT DAN BILANGAN PELAWAT YANG DIBENARKAN DI HOSPITAL KKM SEMASA TEMPOH PKPP

Untuk makluman umum, waktu melawat pesakit dan bilangan pelawat yang dibenarkan melawat hospital-hospital KKM semasa tempoh Perintah Kawalan Perkhidmatan Pemulihan (PKPP) adalah kekal sama seperti semasa tempoh Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP), iaitu:

  • Pelawat hanya dibenarkan masuk ke dalam wad bagi kes kecemasan atau kes kritikal atau keadaan yang memerlukan;
  • Waktu melawat dipendekkan mengikut ketetapan hospital.

Bagi temujanji klinik pula, hanya seorang peneman atau pengiring sahaja dibenarkan, kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan atau keadaan yang memerlukan.

Polisi ini adalah perlu bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 di hospital, serta memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 secara berterusan. Adalah penting bagi kita melindungi pesakit dan petugas kesihatan daripada dijangkiti virus COVID-19. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kesesakan hospital serta membolehkan penjarakan sosial dapat diamalkan di hospital.

Semakan terhadap garis panduan ini akan dilakukan dari semasa ke semasa, dan sebarang perubahan adalah tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM yang ingin menasihatkan orang ramai agar tidak leka dan terus kekal waspada. Pastikan saranan dan nasihat-nasihat kesihatan diamalkan pada setiap masa. Berikut adalah nasihat yang sewajarnya dijadikan satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian seperti:

  • Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

WhatsApp Image 2020-06-06 at 11.32.00

  • Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:

  • S:Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O:Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P:Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

22 Julai 2020 @ 5.00 petang.

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 22 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI) 

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH0100
PULAU PINANG0121
PERAK1 (1)261
SELANGOR3 (3)2,112
NEGERI SEMBILAN01,028
MELAKA0258
JOHOR1 (1)717
PAHANG0365
TERENGGANU0114
KELANTAN0158
SABAH0383
SARAWAK9 (2)628
W.P. KUALA LUMPUR2 (1)2,453
W.P. PUTRAJAYA098
W.P. LABUAN017
JUMLAH KESELURUHAN16 (8)8,831

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import






Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED