Translate

15 April 2025

Kementerian Komunikasi sasar 7,000 usahawan NADIpreneur - Teo



Kementerian Komunikasi sasar 7,000 usahawan NADIpreneur - Teo

Bernama

15/04/2025


Teo Nie Ching (tengah) memakai tudung Keringkam Sarawak selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Padungan, Kuching, 14 Apr 2025. --fotoBERNAMA


KUCHING: Kementerian Komunikasi menyasarkan penyertaan seramai 7,000 peserta bagi program NADIpreneur, inisiatif di bawah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus penyertaan daripada kalangan usahawan wanita, menerusi pelaksanaan program NADI EmpowHER.

"Sehingga 31 Mac lepas, seramai 3,390 wanita daripada keseluruhan 4,000 usahawan telah menerima latihan, dan kami berharap menerusi inisiatif ini, lebih ramai usahawan dalam talian dapat dilatih untuk menggunakan platform e-dagang seperti TikTok dan Lazada bagi meluaskan perniagaan mereka.

"Kita juga akan melatih dan membimbing usahawan mengenai teknik pemasaran berkesan seperti penyediaan pembungkusan produk yang sesuai dan kemahiran perakaunan. Kita mengharapkan sokongan daripada kerajaan negeri serta wakil rakyat untuk mempromosikan usaha ini," katanya kepada pemberita selepas melawat NADI Padungan dan Pending di sini, semalam.

Program NADI EmpowHER mula diperkenalkan dan dilaksanakan sejak Januari lepas sebagai salah satu inisiatif utama di bawah NADI x Keusahawanan, yang bertujuan menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Sementara itu, Teo berkata kesemua 156 NADI yang dibangunkan di seluruh Sarawak telah beroperasi sepenuhnya sejak Oktober tahun lepas.

Menurutnya, inisiatif NADI juga kini meliputi kesemua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

"Sebelum kita mulakan inisiatif 1 DUN 1 NADI, kita sudah bangunkan 133 NADI, namun kita mendapati ada 23 kawasan DUN di Sarawak tidak mempunyai NADI, jadi sekarang semua sudah siap dan beroperasi sejak hujung tahun lepas.

"Selain NADIpreneur dan kemudahan internet, pusat NADI turut menawarkan perkhidmatan kesihatan asas seperti saringan tekanan darah dan paras gula dalam darah," katanya.

Beliau menambah penubuhan NADI di negeri ini dapat merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi rakyat, sejajar dengan objektif utama NADI sebagai pusat capaian internet kolektif, pemerkasaan komuniti, serta penyebaran maklumat yang tepat dan terkini.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'SPRM tahan anggota SMART disyaki terima rasuah RM5' 1 min ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'KKM teliti permi' 12 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Seniwati Sophia Ibrahim meninggal dunia pada usia ' 13 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed '46 individu terima darjah kebesaran, pingat Pahang' 16 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Mahkamah tolak saman ahli per' 17 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Edar lebih 10kg dadah MDMA, lelaki warga Singapura' 17 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 23 mins ago
A visitor from Petaling jaya viewed 'Kerajaan teliti keperluan struktur semula sistem p' 29 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'KKM teliti permi' 32 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Warga emas didakwa bunuh rakan | BEST FBKL' 43 mins ago