Mengenang Samy Vellu: Negara kehilangan seorang pemimpin hebat - PM
Bernama
September 15, 2022
Mengenang Samy Vellu: Negara kehilangan seorang pemimpin hebat - PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) memberikan penghormatan terakhir pada Tun S Samy Vellu di kediaman mendiang di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Negara kehilangan seorang pemimpin yang hebat setelah bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, mendiang Samy Vellu sebelum ini berjaya menyatukan masyarakat India di Malaysia, selain memperjuangkan nasib kaum itu.
"Kita kehilangan seorang pemimpin yang hebat. Tun Samy Vellu yang selama ini dianggap sebagai bapa penyatuan kepada masyarakat India.
"Kita lihat Tun Samy Vellu sewaktu menjadi Presiden MIC berjaya menyatupadukan masyarakat India di Malaysia dan memperjuangkan masyarakat India dari segi ekonomi dan sebagainya, maka negara kehilangan seorang pemimpin yang hebat seperti Tun ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di sini hari ini.
Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 7 pagi tadi.
Perkara itu disahkan bekas Presiden MIC, Tan Sri Dr S. Subramaniam.
Samy Vellu yang memimpin MIC dari 1981 hingga 2010 adalah antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet, iaitu kira-kira tiga dekad bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.
Sementara itu, Ismail Sabri menerusi catatan di Facebook rasmi beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Samy Vellu dan jasa bekas Presiden MIC itu akan terus dikenang.
"Pagi ini saya menerima berita sedih tentang pemergian Samy Vellu, mantan Presiden MIC dan juga bekas menteri Kabinet paling lama berkhidmat bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008.
"Mendiang juga menjadi Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995," katanya.
Perdana Menteri berkata, mendiang Samy Vellu juga banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara.
Beliau juga menyifatkan bekas Ahli Parlimen Sungai Siput selama lapan penggal bermula pada 1974 itu sebagai pejuang dan bapa penyatuan masyarakat kaum India serta mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.
"Banyak sumbangan yang ditaburkannya kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED); Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat itu di negara ini," kata Perdana Menteri. - BERNAMA