18/5/2022
Pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara empat tahun |
KUCHING: Seorang pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara empat tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun dengan cara menyentuh payudara mangsa.
Hakim Maris Agan juga memerintahkan hukuman penjara bagi lelaki berusia 47 tahun itu untuk dikuat kuasakan hari ini.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa untuk tujuan seksual dengan cara menyentuh payudara mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya dalam satu kejadian di hadapan sebuah rumah di Jalan Matang, Depo Link, di sini pada 14 April lalu, sekitar jam 1.18 petang. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama.
Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat tahun akibat melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 15 tahun.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat tahun akibat melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 15 tahun.
Berdasarkan keterangan kes, kejadian berlaku ketika mangsa baru balik dari sekolah dan sedang berjalan kaki menuju ke rumahnya di Jalan Matang, Depo link.
Tertuduh yang menunggang motosikal tiba-tiba datang ke arah mangsa dan berhenti seperti hendak mencari alamat rumah.
Semasa tertuduh bertanyakan soalan kepada mangsa, tertuduh tiba-tiba memegang payudara sebelah kanan mangsa sebelum melarikan diri.
Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu agar tidak dijatuhi hukuman berat dengan alasan dia menyara kedua-dua ibu bapanya, selain turut menanggung anak berusia 17 tahun.
Tertuduh juga memaklumkan mahkamah bahawa sebagai penjawat awam, dia tidak memperoleh pampasan gratuiti mahupun pencen bulanan untuk menyara keluarganya.
Menurutnya juga, dia melakukan kesalahan ini selepas dia bercerai dengan isterinya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff. Tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia