Translate

07 June 2025

Penyelewengan bina lebuhraya: SPRM masih belum dapatkan keterangan Tan Sri



Penyelewengan bina lebuhraya: SPRM masih belum dapatkan keterangan Tan Sri

BULETINTV3

07 Jun 2025

Foto: NSTP


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengambil keterangan seorang Tan Sri berhubung siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuhraya di Lembah Klang.

Sumber berkata, pemegang konsesi lebuhraya itu masih berada di wad di sebuah hospital swasta ketika ini.

“SPRM belum merakam keterangan Tan Sri itu, berkemungkinan proses itu akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya lapor Harian Metro.

Terdahulu, SPRM memaklumkan jumlah sitaan yang melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuhraya di Lembah Klang itu bernilai RM143 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagi menyeleweng dana-dana berkenaan, pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis (layering).

Pegawai siasatan sudah mendapatkan pengesahan daripada doktor berkaitan status kesihatan Tan Sri itu sebelum dirakamkan keterangannya.

Sementara itu, keterangan 45 orang dan saksi-saksi yang sudah diambil keterangan sebelum ini dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut.

Pasukan siasatan juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah Tan Sri di dalam serta luar negara termasuk di London dan Switzerland.

Selain itu, siasatan kini turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanan Tan Sri dengan kemungkinan wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun-akaun lain.

Pada masa yang sama, notis pengistiharan harta juga telah diserahkan kepada Tan Sri dan pihak yang berkaitan.

Jumlah terkini sitaan membabitkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta, sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta.

Sebanyak 13 kereta masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan.

Turut disita adalah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta; tas tangan bernilai RM3 juta; barang kemas serta berlian (RM6 juta); empat ekor kuda bernilai RM400,000.

Minuman beralkohol bernilai RM3 juta, aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta ⁠aktiviti perjudian yang dianggarkan kira-kira RM20 juta.

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED