Tarif Trump: Malaysia kekal tak laksana tarif timbal balas - Tengku Zafrul
Astro Awani
14/04/2025

Tengku Zafrul berkata tempoh penangguhan selama 90 hari yang diumumkan oleh Donald Trump akan digunakan sebaik mungkin agar proses rundingan dapat dilaksanakan dengan kerajaan AS dalam masa terdekat - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Malaysia kekal untuk tidak mengenakan tarif timbal balas terhadap import dari Amerika Syarikat (AS) susulan pelaksanaan tarif dari negara 'Uncle Sam' itu.
Malaysia tidak akan mengenakan tarif timbal balas terhadap import dari Amerika Syarikat, sebaliknya fokus menurunkan kadar tarif dan memperluaskan senarai pengecualian untuk eksport Malaysia.
Tempoh penangguhan 90 hari oleh Presiden AS Donald Trump akan digunakan untuk rundingan dengan kerajaan AS.
Strategi hubungan dua hala dan multilateral kerajaan dipacu oleh tiga keutamaan: libat urus, mempelbagaikan, dan pembaharuan.
Sebaliknya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata objektif Malaysia adalah untuk menurunkan kadar tarif dan memperluaskan senarai pengecualian untuk eskport Malaysia, agar impak negatif terhadap ekonomi dapat dikurangkan.
Tengku Zafrul menambah, tempoh penangguhan selama 90 hari yang diumumkan oleh Prersiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga akan digunakan sebaik mungkin agar proses rundingan dapat dilaksanakan dengan kerajaan AS dalam masa terdekat.
"Seperti mana situasi terkini masih tidak menentu, pendirian AS nampaknya berubah setiap hari.
"MITI dan agensinya sedang memantau keadaan ini dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kedudukan strategik Malaysia terlindung," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) di sini pada Isnin.
Malaysia laksana sesi libat urus, perluas pasaran, reformasi ekonomi
Pada 7 April, Tengku Zafrul berkata, NGCC diaktifkan bagi tujuan menangani kesan tarif AS.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata strategi hubungan dua hala dan multilateral kerajaan akan dipacu oleh tiga keutamaan ialah engage (libat urus); diversify (mempelbagaikan) dan reform (pembaharuan).
Újar beliau, MITI akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan AS di setiap peringkat dalam tempoh terdekat.
"Sesi libat urus akan dibuat dengan pihak industri, kementerian dan agensi berkenaan. Kedua, dari segi 'diversify', kita akan mempergiat perbincangan dengan blok-blok ekonomi negara dan pasaran-pasaran lain bagi memperluaskan pasaran.
"Ketiga, pembaharuan di mana kita mahu mempercepatkan reformasi ekonomi bagi memperkukuh kapasiti rangkaian bekalan domestik dan membantu meningkatkan kecekalan pengeksport," ujar Tengku Zafrul lagi.