Keputusan rayuan Syed Saddiq ditangguh, pengurusan kes ditetap 24 April
Syed Saddiq merayu mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas kesalahan berkaitan dana Armada.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan tarikh lain iaitu pada 24 April hadapan bagi pengurusan kes rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bagi mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Perkara itu dimaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebentar tadi.
“Kami perlu masa untuk meneliti hujahan, dan menetapkan 24 April sebagai tarikh pengurusan kes dan tarikh keputusan,” jelasnya.
Terdahulu, prosiding dimulakan dengan hujahan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Ia disusuli dengan hujahan pihak pembelaan diwakili Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Keputusan rayuan Syed Saddiq ditangguhkan ke 24 April ini
Syed Saddiq kini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November lalu yang mensabitkannya atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.
Beliau dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, namun pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan.