Translate

15 January 2025

Haji: Malaysia mohon kuota tambahan 10,000



Haji: Malaysia mohon kuota tambahan 10,000

Bernama

15/01/2025


Permohonan Malaysia disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah di Jeddah. - Foto TH


KUALA LUMPUR: Malaysia telah memohon kuota haji tambahan sebanyak 10,000 dan akan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, menurut Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini.

TH dalam kenyataan memaklumkan permohonan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah di Jeddah, baru-baru ini.

Pertemuan rasmi itu diadakan bersempena acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran kerajaan Arab Saudi yang berlangsung dari 13 hingga 16 Jan di Superdome, Jeddah, mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari pelbagai negara serta menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Menurut kenyataan itu, delegasi Malaysia turut diwakili Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman serta pengurusan kanan TH.

"Para delegasi turut berkesempatan berjumpa dengan beberapa wakil pengendali dan pejabat urusan haji dari beberapa negara bagi bertukar pandangan serta perkongsian ilmu dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan pengurusan haji negara," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pada pertemuan itu Malaysia turut menandatangani Memorandum Urusan Haji bersama kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik terutamanya dalam pengurusan haji untuk musim 1446H/2025M.

Memorandum berkenaan ditandatangani Mohd Na'im mewakili kerajaan Malaysia manakala Dr Tawfig Fawzan mewakili kerajaan Arab Saudi.

Menurut TH, memorandum yang dimeterai itu melibatkan beberapa persetujuan antaranya jumlah kuota haji rasmi negara sebanyak 31,600 orang bagi musim 1446H/2025M, selain persetujuan Malaysia untuk mematuhi garis panduan berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah.

Malaysia juga akan menyelesaikan kesemua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di Tanah Suci.

Menerusi kenyataan itu, Mohd Na'im berkata memorandum berkenaan menjadi bukti komitmen kerajaan melalui TH dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada bakal dhuyufurrahman, khususnya untuk musim haji kali ini.

"Alhamdulillah, dalam kunjungan rasmi saya ini kita dapat memeterai secara rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi.

"Ini merupakan satu usaha berterusan kerajaan dan TH dalam menambah baik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang untuk peningkatan kualiti perkhidmatan TH di Tanah Suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED