Perikatan Nasional kecewa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan tidak bersungguh dalam memenuhi perjanjian dengan gabungan itu, kata Setiausahanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - Gambar fail
Perikatan Nasional kecewa dengan Perdana Menteri - Hamzah Zainuddin
Astro Awani
Julai 28, 2022
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menzahirkan rasa kecewa terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan tidak bersungguh dalam memenuhi perjanjian dengan gabungan itu, kata Setiausahanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Sehubungan itu, PN, kata beliau, memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui Ismail Sabri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Hamzah berkata, PN, sebelum ini mendesak agar Perdana Menteri melantik seorang menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan Ahli Parlimen Apang, Datuk Zuraida Kamaruddin memutuskan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, kuota untuk Zuraida adalah milik Bersatu dan ia perlu diisi oleh parti itu.
Selain itu Muhyiddin juga menjelaskan terdapat perjanjian antara perdana menteri dan PN untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Bersatu.
Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan wujudnya perjanjian untuk melantik TPM dalam kalangan pemimpin PN.