Translate

01 May 2022

Hari Raya Puasa (Aidilfitri) pada hari Isnin 2 Mei 2022, demikian menurut Pengisyiharan rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad.






Seluruh umat Islam di Malaysia akan meraikan Hari Raya Puasa (Aidilfitri) pada hari Isnin 2 Mei 2022, demikian menurut Pengisyiharan rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad. 


Berdasarkan pengumuman ringkas yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad telah memaklumkan bahawa tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 2 Mei 2022 (Masihi) bersamaan 1 Syawal 1443 (Hijrah) menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

MELIHAT ANAK BULAN

Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Ahad, 1 Mei bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan Majlis Raja-Raja juga bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Tarikh Aidilfitri akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.

Sebanyak 29 lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal iaitu Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Bukit Jugra, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang Manjong di Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.


Lokasi lain yang turut terpilih ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Geliga Kemaman, Pulau Perhentian Besut dan Balai Cerap KUSZA di Terengganu.

Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dan Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang dan Bukit Pelindong.

Tiga lagi lokasi ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED