Translate

14 May 2020

Syarikat tekstil terkenal diri khemah perniagaan tanpa kebenaran PBT, miliki kompaun tertunggak RM700,000





14/05/2020 03:35 PM



SHAH ALAM, 14 Mei -- Selain mendirikan struktur khemah perniagaan tanpa kebenaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sebuah syarikat tekstil terkenal di Seksyen 7 di sini turut mempunyai kompaun tertunggak berjumlah RM700,000 kerana menaikkan papan iklan tanpa permit.

Ketua Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata kompaun itu adalah jumlah yang terkumpul sejak 2017.

"Sejak 2017 sehingga kini, sebanyak 1,103 kompaun dikeluarkan MBSA terhadap syarikat ini kerana menaikkan papan iklan tanpa kebenaran dan ia langsung tidak pernah dibayar," katanya kepada pemberita selepas melawat kerja-kerja meroboh struktur khemah perniagaan itu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) hari ini.


Mengulas tindakan MBSA merobohkan struktur khemah perniagaan milik syarikat tekstil itu dalam satu operasi semalam, Shahrin berkata ia dilakukan selepas empat notis amaran kesalahan yang dikeluarkan sejak 2015 tidak diendahkan pemilik gedung tekstil terbabit.

Beliau berkata MBSA mengeluarkan satu lagi notis pada 2 Mac lepas mengikut Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) sebagai pemakluman bahawa struktur khemah perniagaan itu dibina tanpa kelulusan PBT terbabit sebelum notis supaya ia dirobohkan dikeluarkan mengikut Seksyen 72(1) akta sama.

"Oleh kerana syarikat tekstil itu gagal merobohkan sendiri struktur khemah berkenaan seperti yang diarahkan, MBSA pada 5 Mac lepas mengeluarkan notis supaya mereka mengosongkan khemah dalam tempoh 30 hari bagi kerja-kerja meroboh oleh MBSA yang sepatutnya dijalankan pada 5 April tetapi ditangguhkan sehingga semalam.


"... dan semalam, operasi merobohkan satu daripada tiga struktur khemah telah dijalankan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad dan Polis Diraja Malaysia.

“Hari ini, MBSA merobohkan sebuah lagi khemah dan memberikan tempoh sehingga tengah hari esok untuk syarikat ini merobohkan satu lagi struktur khemah berkenaan," katanya.

Justeru itu, kata Shahrin, MBSA menasihatkan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan PBT selain tidak membina sebarang struktur tanpa kebenaran atau bakal berdepan tindakan tegas.


-- BERNAMA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED