Translate

15 May 2020

Bekas AG Tommy Thomas berkata Kenyataan SPRM Tidak Benar, tidak ada sebarang persetujuan membebaskan Riza Aziz




Kenyataan SPRM tidak benar, tiada persetujuan bebaskan Riza' - Tommy Thomas

Agensi | Diterjemahkan oleh: Madiha Abdullah
Mei 14, 2020 23:24 MYT | Durasi: 1 minit, 30 saat



Tommy Thomas berkata, tidak ada sebarang persetujuan untuk membebaskan Riza daripada pertuduhan. - Astro AWANI / Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk membebaskan Riza Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dari tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan kira-kira AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang didakwa dikeluarkan dari akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Saya kecewa kerana SPRM membuat kenyataan palsu ini," kata Thomas seperti yang dilaporkan The Edge Markets.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pihak pendakwaan memohon untuk pembebasan bersyarat, dan keputusan itu dipersetujui oleh bekas Peguam Negara.

"Saya meletakkan jawatan kira-kira dua bulan yang lalu. Ketika tu, tidak ada sebarang persetujuan untuk membebaskan Riza daripada pertuduhan," kata Thomas.

Tambah Thomas, beliau ketika itu dimaklumkan oleh pegawai khasnya, Rahayu Mamuzaini, bahawa peguam Riza telah membuat kenyataan bertulis kepada Jabatan Peguam Negara mengenai perkara tersebut.

Beliau menyemak kenyataan berkenaan sebelum menyerahkannya kepada Datuk Seri Gopal Sri Ram, pendakwa utama dalam perbicaraan Riza, untuk memeriksa dokumen-dokumen itu.

Namun, Thomas menegaskan tiada perkembangan lain yang berlaku selepas itu berhubung pendakwaan.

Awal hari ini, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram yang disekat dari 1MDB.

Riza dijadualkan untuk membayar kompaun, dengan pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwanya jika tiada penyelesaian yang memuaskan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian, SPRM memaklumkan persetujuan antara pihak pendakwaan dan Riza adalah 'keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui' oleh Thomas.

SPRM memaklumkan kerajaan dijangka mendapat kembali aset luar negara yang terbabit dalam salah guna itu, yang dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta, atau 43.26% dari jumlah yang didakwa dikeluarkan dari 1MDB.





Riza Aziz dilepas, Malaysia dijangka terima semula RM465.3 juta - SPRM

Astro Awani, Kenyataan Media | Mei 14, 2020 19:01 MYT | Durasi: 1 minit, 23 saat


Riza yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta) ekoran keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata jumlah wang yang dikembalikan itu merupakan antara persetujuan yang dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimaklumkan bahawa ia merupakan pelepasan bersyarat yang mana pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

"Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang mana ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan-pertuduhan yang telah dikenakan ke atasnya," kata kenyataan tersebut.

BACA: Kes dana 1MDB, ini senarai pertuduhan dihadapi Riza Aziz

Persetujuan ini dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Terdahulu Riza yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Riza didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Azman Ahmad selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED