Translate

07 June 2025

Insiden bot terbalik: Bot berjaya diapungkan, pencarian mangsa diteruskan



Insiden bot terbalik: Bot berjaya diapungkan, pencarian mangsa diteruskan

Bernama

07/06/2025


Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata siasatan awal mendapati bot berkenaan sedang dipandu uji dan dikendalikan sendiri oleh pemiliknya. - Foto BERNAMA


KLANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pasangan suami isteri yang hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan Tanjung Harapan di sini semalam, diteruskan dengan kerja-kerja mengapungkan bot terbabit.

Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksais Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Leftenan Maritim Mohd Syafiq Sazali berkata sebahagian daripada bot berkenaan berjaya diapungkan pada 2.20 petang, sebelum diteruskan dengan proses mengepam air keluar.

"Proses seterusnya menggunakan khidmat penyelam bagi memasang tali pada bahagian bawah bot untuk menaikkan atau meninggikan bahagian hadapan bot terlebih dahulu.

"Setelah itu, kita akan mengepam air keluar daripada bot dan akan melakukan pemeriksaan sama ada terdapat mangsa di dalam bot berkenaan," katanya kepada pemberita di lokasi pencarian di Tanjung Harapan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala sepasang suami isteri masih hilang apabila bot dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, masing-masing berasal dari Klang Utama.

Dalam masa sama anak mereka, Darren Gan yang berusia tiga tahun ditemukan maut dalam ruang hadapan bot bersama dua lagi mangsa, iaitu Cheu Son Hin, 50, dan Fong Yong Sen, 29, yang juga rakan kepada pasangan itu.

Seorang lagi mangsa Chang Yan Qin Alvin, 17, berjaya diselamatkan oleh nelayan.

Mengulas lanjut, Mohd Syafiq berkata operasi SAR yang disambung semula sejak 7 pagi tadi turut melibatkan penggunaan empat aset daripada pelbagai agensi keselamatan tidak termasuk tiga lagi aset daripada Royal Selangor Yacht Club (RSYC).

Beliau berkata paras air pasang banyak membantu memudahkan usaha menaikkan bot ke permukaan air kerana bot berkenaan masih mempunyai daya apungan sekali gus memudahkan usaha pasukan penyelam memasang tali.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED