Nahas trak FRU: Penghormatan terakhir untuk semua mangsa selesai
Bernama
14/05/2025

Waris dan kenalan mangsa mengaminkan doa selepas menunaikan solat jenazah kepada tujuh anggota FRU yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya pada Istiadat Penghormatan Terakhir di FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh, 14 Mei 2025. --fotoBERNAMA
IPOH: Sembilan jenazah dan jasad anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan semalam selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di FRU Unit 5, Sungai Senam di sini pada 3.46 pagi ini.
Diberikan istiadat kepahlawanan PDRM, kesemua keranda jenazah dan jasad yang tiba pada 3.13 pagi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak itu dilitup dengan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.
Tujuh jenazah anggota FRU yang beragama Islam kemudian disolatkan di Surau Al-Mustakim diimamkan oleh Ustaz Azrul Zaimi Muhammad Ali.
Terdahulu, jenazah dan jasad kesemua anggota FRU itu dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada 12.33 tengah malam selepas selesai bedah siasat sebelum tujuh jenazah beragama Islam disolatkan di surau IPD Hilir Perak

Van jenazah membawa mangsa nahas jalan raya membabitkan anggota FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam dibawa keluar untuk penghormatan terakhir di Markas Unit 5, FRU Sungai Senam, Ipoh selepas selesai disolatkan di Surau Ar-Rahman, IPD Hilir Perak pagi ini. --fotoBERNAMA

Anggota FRU mengusung keranda jenazah rakan mereka yang terkorban akibat kemalangan pada sesi penghormatan terakhir serta istiadat kepahlawanan PDRM di Surau Al-Mustaqim FRU 5, Ipoh, 14 Mei 2025. --fotoBERNAMA

Jemaah menunaikan solat jenazah kepada tujuh anggota FRU yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Teluk Intan pada Istiadat Penghormatan Terakhir di FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh, 14 Mei 2025. --fotoBERNAMA
Selesai istiadat di FRU Unit 5, Sungai Senam, jenazah dan jasad anggota FRU itu dibawa ke lokasi masing-masing untuk dikebumikan.
Insiden pada kira-kira 8.50 pagi Selasa itu menyaksikan sembilan anggota FRU terkorban apabila kenderaan dinaiki mereka, yang dalam perjalanan ke Ipoh selepas satu penugasan di Teluk Intan, dirempuh lori membawa muatan batu menyebabkan lapan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.
-- BERNAMA