Translate

07 April 2025

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Sri Sanjeevan



Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Sri Sanjeevan

Bernama

07/04/2025


Panel hakim memutuskan bahawa penahanan Sri Sanjeevan adalah sah mengikut waran tahanan Majistret. -Gambar fail/Bernama


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan bekas aktivis antijenayah R. Sri Sanjeevan yang telah menyaman kerajaan dan polis untuk ganti rugi bagi penahanannya secara salah di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan R. Sri Sanjeevan untuk ganti rugi bagi penahanannya secara salah di bawah POCA.

Panel hakim memutuskan bahawa penahanan Sri Sanjeevan adalah sah mengikut waran tahanan Majistret.

Sri Sanjeevan diarahkan membayar RM50,000 sebagai kos guaman dan perlu memfailkan tindakan tort berasingan untuk ganti rugi.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara memutuskan bahawa pegawai Penyiasat ASP Poonnam E Keling tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk penahanan secara salah itu.

Panel itu juga berpendapat bahawa Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia tidak boleh dipertanggungjawabkan secara wakil sekiranya tiada liabiliti di pihak yang didakwa melakukan tortfeasor utama.

Hakim Vazeer ketika membaca keputusan mahkamah berkata penahanan Sri Sanjeevan adalah mengikut waran tahanan Majistret dan bukan tanpa perintah kehakiman yang sah.

Beliau berkata Poonam hanya melaksanakan perintah kehakiman yang dikeluarkan oleh Majistret.

Hakim Vazeer berkata permohonan habeas corpus Sanjeevan untuk pembebasannya daripada tahanan dibenarkan atas faktor teknikal - bahawa tempat tahanan yang disenaraikan dalam waran itu bukanlah kemudahan tahanan yang diwartakan, dan kesilapan ini tidak boleh dikaitkan dengan Poonam.

Panel itu mengarahkan Sri Sanjeevan membayar RM50,000 sebagai kos guaman.

Hakim Vazeer juga berkata seorang tahanan yang berjaya memperoleh habeas corpus masih perlu memfailkan tindakan tort berasingan untuk ganti rugi atau pampasan, sambil menambah bahawa permohonan habeas corpus yang berjaya tidak akan menjadi asas secara automatik untuk tindakan sivil bagi tuntutan ganti rugi.

Sri Sanjevaan, 40, menyaman Poonnam E Keling; Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia selepas mendakwa ditahan secara salah oleh Poonnam dari 10 hingga 26 Julai 2016.

Bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) itu mendakwa beliau turut diserang, dan beliau menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.

Pada 28 Jun 2022 Mahkamah Tinggi membenarkan saman Sri Sanjeevan bagi penahanan secara salah dan mengarahkan ganti rugi dibayar kepadanya, namun Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas membenarkan rayuan oleh polis dan kerajaan, pada September 2023.

Sri Sanjeevan ditahan pada 10 Julai 2016 mengikut di bawah POCA kerana didakwa terbabit aktiviti jenayah dan dihadapkan ke Mahkamah Majisret pada hari berikutnya yang mengeluarkan perintah reman selama 21 hari.

Sebelum tamat reman, Sri Sanjeevan memfailkan permohonan habeas corpus atau penahanan salah supaya dibebaskan daripada tahanan.

Beliau dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya pada 26 Julai 2016 disababkan terdapat pelanggaran prosedur mandatori di bawah POCA, dan kerajaan seterusnya memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan, tetapi kemudian menarik balik rayuan itu.

Sri Sanjeevan pula memfailkan tindakan sivil terhadap polis dan kerajaan kerana pemenjaraan secara salah.

Dalam prosiding hari ini, peguam S. Preakas, Satchitanandan Vedha Ratnam dan Komal Vijay Sheth mewakili Sri Sanjeevan, manakala peguam kanan persekutuan Mohammad Al-Saifi Hashim, Nur Ezdiani Roleb, Liew Horng Bin dan Mohd Zain Ibrahim mewakili polis dan kerajaan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'SATU MALAYSIA CINA, MELAYU, INDIA SOUND PEKEBUN MU' 1 min ago
A visitor from Ipoh viewed 'Angin kencang, ribut petir dijangka landa utara Se' 7 mins ago
A visitor from Melaka viewed 'KEJADIAN DAHSYAT LORI REMPOH BANYAK KENDERAAN DI T' 17 mins ago
A visitor from Putrajaya viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 30 mins ago
A visitor from Baldwin viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 31 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 43 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 45 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 51 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 56 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Macam Tak Percaya Berlaku Di Malaysia | BEST FBKL' 56 mins ago