23 termasuk 3 GRO ditahan dalam Ops Gegar, Ops Selera sekitar Puchong
26 April 2025
BuletinTV3

SERDANG: Tiga gadis pelayan pelanggan (GRO) termasuk warga Maghribi antara 23 individu ditahan menerusi serbuan Op Gegar dan Op Selera ke atas dua premis berasingan di sekitar Puchong, semalam.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, keseluruhannya 37 individu diperiksa dalam operasi bermula jam 6.30 petang.
“Serbuan pertama membabitkan sebuah bar dan bistro di mana 27 individu diperiksa dan 17 pekerja lelaki iaitu 16 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh ditahan.
“Serbuan kedua pula ke atas sebuah pusat hiburan yang mana 10 individu diperiksa dan enam ditahan terdiri daripada tiga pekerja lelaki warga Bangladesh.
“Selebihnya, tiga wanita disyaki GRO iaitu masing-masing seorang warga Thailand, Vietnam, dan Maghribi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketika serbuan ada beberapa cubaan untuk melarikan diri termasuk bersembunyi di dalam almari dan menyamar sebagai pelanggan namun gagal memperdaya pasukan serbuan.
Soal siasat mendapati semua pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit bekerja kira-kira enam bulan di premis terbabit.
Mereka masuk sama ada melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau laluan darat di Bukit Kayu Hitam yang diuruskan oleh ejen.
Semua PATI berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tinggal lebih masa) dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 (salah guna pas).