Translate

20 November 2024

KPKT peruntuk RM51.55 juta untuk 233 inisiatif infrastruktur awam Sarawak



KPKT peruntuk RM51.55 juta untuk 233 inisiatif infrastruktur awam Sarawak

Bernama

19/11/2024


Dr Sim tiba untuk menghadiri persidangan hari pertama Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak yang ke-19 hari ini. - Gambar Bernama


KUCHING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM51.55 juta untuk 233 inisiatif infrastruktur awam di Sarawak tahun ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata selain itu, sebanyak RM700,000 diperuntukkan untuk 10 projek di bawah Program Bandar Selamat bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan kesesuaian didiami di kawasan bandar.

"Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pula memperuntukkan RM1.995 juta untuk menaik taraf 13 tamu manakala Kementerian Ekonomi menyediakan RM2.06 juta bagi 16 projek infrastruktur kecil melalui Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR)," katanya.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sarawak 2025 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata KPKT turut memperuntukkan RM6 juta untuk membaiki 300 rumah di negeri ini di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

"Setakat ini, sebanyak 289 projek membaik pulih rumah telah siap manakala 16 rumah baharu telah dibina daripada 43 rumah yang diluluskan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.72 juta," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED