Translate

02 April 2021

Tarantula, Kenderaan Berperisai Mobiliti Tinggi Pertama Negara

Tarantula, kenderaan berperisai mobiliti tinggi pertama negara

Astro Awani
2/4/2021

KUALA LUMPUR: Kenderan berperisai mobiliti tinggi (HMAV) 4X4 pertama negara yang dibangunkan syarikat Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef) kini secara rasmi dinamakan sebagai Tarantula.

Majlis Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4X4 (HMAV 4X4) Pertama Malaysia itu dirasmikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kem Perdana Sungai Besi, pada Jumaat.

Jelasnya, nama spesies labah-labah Tarantula itu bersesuaian dengan kemampuan kereta perisai tersebut untuk beroperasi di pelbagai keadaan dan cuaca.

“Kereta perisai ini telah melalui pelbagai ujian dari pasukan uji Tentera Darat serta Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi, Kementerian Pertahanan.

“Ujian nilai ini termasuk ketahanan di lebuh raya mengenai penggunaan minyak, dan (ujian) off road telah dilaksanakan. Dari segi ujian atas jalan raya selama sembilan hari merangkumi 700 kilometer dan 300 kilometer ujian panduan off road,” jelasnya.

Bagaimanapun jelas Ismail, kementeriannya belum membuat sebarang perolehan bagi mendapatkan kenderaan berperisai terbabit sebagai salah satu aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita belum buat perolehan pembelian dalam negara, kelebihan dari segi penilaian kita akan utama dalam negara.

"Kita (Mindef) belum menerima tawaran pembelian Tarantula. Kita akan jalankan ujian lain (terhadap set itu) yang akan dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia," katanya lagi.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Pertahanan itu turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi fokus kepada pembelian produk pertahanan yang dihasilkan oleh anak tempatan.

Jelasnya, ia memberi kelebihan kepada kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar produk pertahanan sekali gus mengurangkan kebergantungan dengan negara luar.

"Sebelum ini kita berjaya hasilkan peluru, komponen pesawat dan kita sedang membina kapal perang. Dari segi fokus, kerajaan akan lebih beri perhatian dalam industri pertahanan.

"Saya berikan jaminan, industri pertahanan melibatkan anak tempatan (seperti) Mildef akan jadikan keluaran Malaysia satu kelebihan (mendapatkan) perolehan kementerian," ujarnya lagi.

Tarantula seberat 14 tan itu dihasilkan Mildef dalam tempoh empat tahun penyelidikan dan pembangunan yang menelan belanja RM16 juta.

Menggunakan enjin turbo diesel 6.6-liter 6-selinder sebaris dari Caterpillar, Tarantula mampu beroperasi dari suhu serendah -21 darjah Celsius hingga 49 darjah Celsius.

Kenderaan itu juga mempunyai kadar perlindungan perisai daripada peluru, balistik, bom tangan dan periuk api.

Source: Astro Awani

For More News Go To:

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED