Translate

01 October 2020

Hanya Berusia 14 Tahun, Namun Sudah Miliki Lima Rekod Lampau - Polis



Hanya berusia 14 tahun, namun sudah miliki lima rekod lampau - Polis
BERNAMA
01/10/2020 08:54 PM



KEPALA BATAS, 1 Oktober -- Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang ditahan di sini Selasa lepas kerana terlibat dalam kegiatan samun bersenjata didapati mempunyai lima rekod lampau bersabit jenayah dan dadah.

Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata remaja terbabit juga didapati positif dadah ketika ditangkap.

Remaja ini serta dua lagi lelaki, masing-masing berusia 16 dan 22 tahun, ditahan dalam serbuan di Pajak Song di sini, dan geng tersebut didalangi lelaki berusia 22 tahun berkenaan, katanya pada sidang media, hari ini.

"Polis pada mulanya menahan dua lelaki menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu digunakan untuk kegiatan samun serta ragut di sekitar daerah SPU sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lagi suspek dan siasatan mendapati geng ini terlibat dalam lima kes samun bersenjatakan pisau membabitkan kerugian sekitar RM15,000 di sekitar SPU.

"Modus operandi mereka ialah mengekori mangsa terutama wanita yang menaiki motosikal sebelum menghampiri mereka dan menyamun beg tangan, namun ada mangsa yang mereka arahkan berhenti sebelum mengacukan pisau dan diugut agar menyerahkan beg,” katanya.

Menurutnya siasatan mendapati hasil samun digunakan untuk membeli dadah dan ketiga-tiga suspek kini direman lima hari bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata pihaknya menahan lima lelaki termasuk seorang warga emas berusia 66 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket mencuri basikal berjenama di daerah ini.

Katanya kesemua mereka berusia 19 hingga 66 tahun tersebut ditahan dalam beberapa serbuan Ops Lejang di sekitar Bertam dan Kepala Batas pada Selasa.

Tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki berusia 19 hingga 25 tahun di hadapan sebuah rumah di Bertam Perdana pada 6.30 pagi ketika mereka dipercayai cuba mencuri sebuah basikal berjenama di rumah berkenaan.

“Modus operandi geng berkenaan ialah membuat rondaan terlebih dahulu sebelum mencuri basikal yang berada di perkarangan kediaman.

"Mereka akan menaiki dua buah motosikal sebelum seorang daripadanya mencuri basikal berjenama yang terdapat di hadapan rumah dan menunggangnya sambil diiringi oleh dua lagi suspek menunggang motosikal," katanya.

Susulan penahanan tiga lelaki itu, polis menahan dua lagi suspek berusia 44 dan 66 tahun kerana membeli basikal yang dicuri oleh geng tersebut sebelum menjualnya semula di premis mereka.

Menurut Noorzainy geng itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya tujuh kes sejak Julai lepas dan mereka menjual basikal berharga antara RM2,000 dan RM5,000 terbabit pada harga RM500 hingga RM700 kepada pemilik kedai basikal tersebut yang menjualnya semula pada separuh harga pasaran.

“Siasatan polis tidak menolak kemungkinan pemilik premis tersebut mengetahui basikal-basikal berjenama itu memang dicuri kerana geng berkenaan hanya menjual kenderaan tersebut kepada kedai itu sahaja," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED