Translate

13 August 2018

Polis menahan dua guru tadika bagi membantu siasatan video perlakuan kedua-dua mereka mendera serta memukul beberapa orang kanak-kanak



Polis tahan 2 guru wanita dera kanak-kanak

BERITA HARIAN ONLINE
13 Ogos 2018 3:42 PM

MELAKA 13 Ogos - Polis menahan dua guru tadika bagi membantu siasatan video perlakuan kedua-dua mereka mendera serta memukul beberapa orang kanak-kanak di sebuah pusat perkembangan kanak-kanak di Cheng di sini, yang tular dalam laman sosial baru-baru ini.

Kedua-dua guru wanita itu yang masing-masing berusia 21 dan 40 tahun ditahan pada Sabtu lalu selepas polis menerima laporan yang dibuat oleh pengurus pusat perkembangan kanak-kanak itu pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 30 Julai lalu di pusat perkembangan kanak-kanak itu yang terletak di Cheng.

“Pusat perkembangan kanak-kanak itu mempunyai dua cawangan iaitu yang pertama dibuka di Ayer Keroh dan sebuah lagi di Cheng. Kejadian dikatakan berlaku di premis di Cheng membabitkan empat kanak-kanak.

“Susulan laporan dibuat pengurus pusat itu, polis menahan dua guru wanita terbabit bagi membantu siasatan dan ketika ini polis sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Dua video rakaman kejadian itu, masing-masing berdurasi 2 minit 10 saat dan 36 saat tular dalam laman sosial menunjukkan tindakan dua guru wanita berkenaan memukul serta mencederakan beberapa orang kanak-kanak di pusat perkembangan itu.

Video berdurasi 36 saat memaparkan tindakan salah seorang guru terbabit menampar seorang kanak-kanak lelaki sehingga terjatuh dari kerusi manakala satu lagi video menunjukkan tindakan seorang lagi guru mengangkat kanak-kanak perempuan di pusat itu dan diletakkan di atas tubuh kanak-kanak lelaki yang terbaring.

Difahamkan, hasil pemeriksaan pada tubuh kanak-kanak itu bagaimanapun tidak menemukan sebarang kecederaan. - UTUSAN ONLINE



Tag Berkaitan


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-polis-tahan-2-guru-wanita-dera-kanak-kanak-1.728175#ixzz5O3H82BuC
© Utusan Melayu (M) Bhd









Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED