Translate

21 September 2018

Sebuah syarikat pengurup wang dan dua pegawai kanannya didakwa atas tuduhan mengemukakan pernyataan palsu





Syarikat pengurup wang, 2 pegawai didakwa kemuka pernyataan palsu
www.utusan.com.my


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Sebuah syarikat pengurup wang dan dua pegawai kanannya didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bank Negara Malaysia (BNM), Mac lalu.



Syarikat itu, Lucky Money Changer Sdn. Bhd.; ketua pegawai eksekutifnya, Sharulnizam Saari, 46; dan pengarah eksekutifnya, Nazeer Ahamed Shahul Hamid, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin, Hakim Zamri Bakar dan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.



Mengikut pertuduhan, syarikat itu selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili Nazeer Ahamed didakwa telah mengemukakan suatu pernyataan palsu kepada BNM berkaitan ‘ledger for Travelex Malaysia Sdn. Bhd.’ di syarikat tersebut yang beralamat di Lot LGO41, Mid Valley Megamall, Lingkaran Syed Putra, di sini pada 9 Mac lalu.


Sharulnizam dan Nazeer Ahamed masing-masing turut menghadapi pertuduhan sama iaitu sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengarah eksekutif syarikat tersebut didakwa telah mengemukakan suatu pernyataan palsu bagi tempoh antara 1 Disember 2017 dan 31 Januari lalu di tempat dan tarikh sama.


Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 35(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dibaca bersama Seksyen 80 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 35(b) akta serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa dari BNM, Steve Chin Yun Cheong mencadangkan jaminan masing-masing RM150,000 dengan seorang penjamin terhadap Sharulnizam dan Nazeer Ahamed berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Sharulnizam yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana dia perlu menanggung keluarganya manakala Nazeer Ahamed yang diwakili peguam, Khairul Anuar Kashim memberitahu keadaan kewangan anak guamnya kini tidak berapa stabil selain tiada kebarangkalian untuk melarikan diri.

Nazeer Ahamed dibenarkan diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin manakala Sharulnizam RM50,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri kepada BNM setiap bulan, selain masing-masing dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Ketiga-tiga mahkamah menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan kes. -UTUSAN ONLINE



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/syarikat-pengurup-wang-2-pegawai-didakwa-kemuka-pernyataan-palsu-1.752136#ixzz5RjL6agTO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED