Translate

25 July 2018

Bos Eaglexpress dan Suasa Airlines membuat laporan kepada SPRM terhadap seorang bekas pegawai kanan Mavcom




Bos 2 syarikat penerbangan buat laporan SPRM terhadap bekas pegawai Mavcom

Robin Augustin | July 25, 2018
FREE MALAYSIA TODAY



Presiden Eaglexpress dan ketua pegawai eksekutif Suasa Airlines mendakwa seorang bekas pegawai kanan Mavcom menyalahgunakan kuasa dan meminta anak saudaranya dilantik sebagai pengarah syarikat baru.




KUALA LUMPUR: Bos 2 syarikat penerbangan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) atas dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Presiden Eaglexpress, Kapten Azlan Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Suasa Airlines, Kapten Sheikh Salleh Abod mendakwa pegawai itu dalam 2 keadaan berasingan, menyatakan beliau tiada hak berurusan dengan mereka.

Salleh berkata, dalam kes Suasa Airlines, Mavcom mendakwa syarikat itu mengadakan penerbangan demonstrasi bukan komersial dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 2016 tanpa permit perkhidmatan udara (ASP).

Ini menyebabkan berlaku pertikaian dengan Mavcom kerana Suasa sudah mendapat kelulusan dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk penerbangan bukan komersial itu.



Salleh mendakwa pegawai itu mencadangkan penyelesaian kepada Suasa untuk membuat permohonan mendapatkan lesen yang diperlukan di bawah syarikat baru, tetapi Salleh tidak boleh menyertai syarikat baru itu.

“Pada mulanya saya tidak bersetuju, tetapi saya bertukar fikiran, memikirkan saya boleh masuk kemudian. Selepas 2 ahli lembaga pengarah memberitahu pegawai itu kami bersetuju, beliau memberi syarat baru untuk memasukkan anak saudaranya sebagai pengarah dan pemegang saham syarikat baru itu,” katanya sambil menambah beliau tidak boleh menerima syarat itu.

Sementara itu, Azlan berkata, beliau mahu SPRM menyiasat kenapa pegawai itu didakwa mendiskriminasi Eaglexpress.

Katanya, Mavcom membatalkan ASP Eaglexpress kerana gagal meningkatkan tahap tunainya kepada RM30 juta, bersamaan unjuran 2 bulan kos operasi bagi 2016, seperti disediakan syarikat penerbangan itu sendiri pada 30 November 2016.

“Pesaing kami juga tidak memenuhi syarat itu, tetapi mereka boleh meneruskan operasi,” dakwanya yang enggan mendedahkan nama syarikat penerbangan lain itu.

Beliau berkata, selepas lesen Eaglexpress dibatalkan, 2 wakil syarikat itu mengadakan perjumpaan dengan pegawai terbabit.

Azlan mendakwa pegawai itu memberitahu 2 wakilnya supaya memohon lesen baru di bawah syarikat baru, tetapi Azlan tidak boleh berada dalam syarikat baru itu.

Beliau turut mendakwa pegawai sama enggan memberitahu kenapa beliau tidak boleh menjadi sebahagian daripada syarikat baru itu.

Salleh dan Azlan memberitahu FMT, mereka mahu SPRM menyiasat jika pegawai terbabit menyalahgunakan kuasanya.

Mereka sebelum ini mendakwa mengalami kerugian beratus juta disebabkan tindakan Mavcom.

FMT sudah menghubungi bekas pegawai itu dan masih menunggu maklum balasnya.

Sementara itu, Mavcom memberitahu FMT mereka tidak tahu ada pihak membuat laporan kepada SPRM terhadap pegawai terbabit atau pegawainya dihubungi agensi anti-rasuah itu.

“Jika dan apabila diperlukan, Mavcom akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM,” katanya dalam satu kenyataan.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED