Translate

13 February 2018

PM malam tadi menziarahi keluarga Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, yang meninggal dunia petang semalam.




Najib ziarah keluarga Abdul Manan


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam tadi menziarahi keluarga Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, yang meninggal dunia petang semalam.



Perdana Menteri hadir bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.



Abdul Manan yang juga bekas Setiausaha Sulit Najib dari tahun 1986 hingga 2004, meninggal dunia kira-kira jam 6.45 petang semalam, selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Taman Melawati, di sini.



Terdahulu, dalam laman Twitter rasminya, Najib menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan kematian Ahli Parlimen Paya Besar itu sebagai satu kehilangan besar buat UMNO.



"Innalillah. Dukacita terima berita Ahli Parlimen Paya Besar dan bekas Setiausaha Sulit saya, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, telah kembali ke rahmatullah.



"Beliau sangat rapat dengan saya dan pernah berkhidmat bersama-sama saya di Kementerian Belia dan Sukan. Satu kehilangan besar buat UMNO. Takziah kepada keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya.



Najib berkata, UMNO telah kehilangan seorang Ahli Parlimen yang amat berdedikasi dan sentiasa gigih berkhidmat untuk rakyat.



Allahyarham Abdul Manan, 70, juga adalah Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).



Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Abdul Manan yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, menang dengan majoriti 7,715 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Murnie Hidayah Anuar dan calon Bebas, Zahari Mamat.



Sementara itu, adik arwah, Datuk Seri Muhammad Safian yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, berkata abangnya itu terjatuh di bilik air dan dipercayai mengalami serangan jantung.



Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Ulu Klang, sebelum waktu Zuhur, hari ini.


2952 dibaca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan di Taman Melawati. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Asyraf Hamzah
Read More:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/387929/najib-ziarah-keluarga-abdul-manan

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED