Translate

18 November 2017

4 perompak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1.2 juta dari kedai emas dalam sebuah pusat membeli belah di Seksyen 14, Shah Alam





HARIAN METRO
EMPAT perompak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1.2 juta dari kedai emas dalam sebuah pusat membeli belah di Seksyen 14, Shah Alam malam ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner R Supramaniam berkata, kejadian berlaku jam 7.30 malam.
"Tiga perompak bertopi keledar dan berpakaian gelap meluru ke kedai emas itu manakala seorang lagi menunggu di luar premis.



"Salah seorang suspek yang bersenjatakan pistol jenis Revolver melepaskan satu das tembakan ke siling premis sebelum rakan suspek memecahkan cermin di rak pameran dengan menggunakan tukul," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, suspek melarikan tujuh dulang pelbagai barang kemas.
"Tiga suspek itu kemudian melarikan diri ke arah rakan mereka yang sudah menunggu dengan tiga motosikal di luar pusat beli belah itu.
"Kerugian dianggarkan RM1.2 juta dan ketika kejadian ada empat pekerja kedai emas itu namun tiada pelanggan dan tiada kecederaan," katanya.
Beliau berkata, pengawal keselamatan di kedai emas itu berada di luar premis ketika kejadian.
"Kita akan siasat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai dan kita juga meminta pemilik premis berdekatan yang mempunyai CCTV tampil membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Sementara itu, saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 25, berkata, kejadian berlaku sangat pantas.
"Ketika itu saya berada tidak jauh dari kedai emas itu sebelum tiba-tiba datang tiga orang meluru masuk ke premis itu dan melepaskan tembakan ke siling," katanya.
Menurutnya, perompak itu hanya mengambil masa beberapa minit melakukan jenayah itu.
"Selepas saja tembakan itu perompak terbabit memecahkan cermin sambil mengacukan pistol ke arah pekerja.
"Beberapa minit kemudian mereka keluar dengan membawa emas di tangan," katanya.
Menurutnya, dia bersyukur kerana ketika kejadian tidak ramai orang di kawasan itu berikutan menunaikan solat Maghrib.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 11:29 PM

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED