Translate

05 April 2017

Mangsa, A Sukumaran dipercayai diserang dua lelaki yang bersenjatakan parang

Polis Buru Suspek Kes Bunuh

BESTARI JAYA - Kegembiraan tiga sekawan berbual sambil minum santai di hadapan sebuah rumah di Taman Sinaran, di sini berakhir tragedi apabila didatangi dua lelaki bersenjatakan parang kira-kira jam 11.30 malam, semalam.
Mangsa, A Sukumaran, 34, dipercayai diserang dua lelaki yang datang menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara sebelum lari menyelamatkan diri ke arah kebun kelapa sawit berhampiran.
Bagaimanapun, mangsa ditemui mati jam 7.15 pagi dalam keadaan terlentang tanpa berbaju dan kasut dengan kesan tikaman di tengah bahagian dada selain beberapa luka kecil di bahu serta belakang badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ruslan Abdullah menjelaskan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki di dalam kebun kelapa sawit pagi tadi.
Menurutnya, mangsa yang mempunyai rekod jenayah lampau dan kes dadah itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat tikaman di bahagian tengah dada dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa ada bersama dua rakannya yang ketika itu mahu pulang selepas minum di hadapan rumah mangsa sebelum didatangi dua lelaki yang dikenali.
“Ketika itu, dua rakan mangsa dikatakan mahu beransur pulang dan menuju ke arah motosikal sebelum melihat sebuah kereta berwarna biru dengan nombor plat yang tidak dapat dikenal pasti menghampiri mereka,” katanya.
Ruslan berkata, dua lelaki yang menyerang mangsa dilihat beredar selepas gagal mengejar mangsa berikutan kawasan kebun kelapa sawit terbabit gelap.
“Dua rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu berteriak memanggil orang ramai untuk bantu cari mangsa bagaimanapun sehingga jam 4.30 pagi, mangsa gagal ditemui.
“Mayat mangsa kemudian ditemui seorang perempuan India kira-kira jam 7.15 pagi dengan jarak 200 meter dari lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Punca kejadian serangan bersenjatakan parang itu masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek yang sudah dikenal pasti giat dijalankan,” katanya.
-Sinar Harian

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED