Mustafa yang memulakan tugasnya hari ini berkata, pengalaman mengetuai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebelum ini menjadi antara kelebihan untuknya membantu menangani isu itu.
“Jabatan ini bukan zon selesa bagi saya, ia satu cabaran berat. Saya akan meneruskan apa jua dasar serta langkah yang dilakukan pengurusan tertinggi sebelum ini, cuma mungkin kali ini fokusnya sedikit berbeza,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mustafa, 57, dilantik Ketua Pengarah Jabatan Imigresen menggantikan Datuk Aloyah Mamat yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan berkuat kuasa Jumaat lepas.
Mustafa berkata, semua pandangan dan cadangan yang diutarakan pelbagai pihak akan diambil kira termasuk usaha membanteras sindiket orang tengah yang dikatakan menjadi punca utama kepada masalah PATI.
“Saya beri amaran kepada sesiapa sahaja yang terlibat yang menyumbang kepada masalah PATI termasuklah di Cameron Highlands, kami akan bertindak pada bila-bila masa,” katanya.
Selain itu, Mustafa berkata, jabatan itu akan meneliti cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kerajaan berhubung penubuhan suruhanjaya bebas bagi menangani isu pekerja asing, sah dan tanpa izin. - BERNAMA