Translate

29 November 2014

Jenaka 'tuala wanita' Nabil Ahmad tidak sensitif


25 Nov – Berhubung dengan isu tuala wanita yang dipersembahkan oleh pelawak dan juga pengacara Nabil Ahmad pada "Maharaja Lawak Mega 2014" Jumaat lalu , dia dihentam oleh segelintir pihak di media sosial.
Memetik laporan daripada Harian Metro, Nabil yang dihubungi berkata, pertikaian yang dibangkitkan mengenai jenaka tuala wanita dalam pertandingan itu adalah tidak berasas dan perkara remeh yang tidak perlu dilayan.
"Lantaklah apa mereka nak cakap. Setakat yang pertikaikan pun dua atau tiga kerat saja. Orang lain okey saja.
"Kalau nak ambil semua orang cakap memang tak boleh hiduplah saya jadinya. Cuba fikir secara logik kalau produk tuala wanita itu benda yang betul-betul sensitif kenapa iklan mengenainya tidak dihentikan?"
Nabil dikritik teruk apabila bahan jenakanya itu menyentuh sensitiviti mengenai tuala wanita dan mempersendakan produk itu sebagai bahan jenaka di khalayak ramai.
"Saya hanya buat lawak daripada apa yang sedia ada dan perkara biasa dalam kehidupan kita. Tak ada apa yang sensitif atau pelik pun rasanya dengan jenaka itu. Jadi tak payahlah pihak tertentu nak besar-besarkan hal sebab majoriti yang lain okey dengan lawak itu."
Kontroversi membabitkan jenaka bukan kali pertama terjadi kepada Juara Raja Lawak musim kedua ini, sebelum ini pelawak ini juga dikecam kerana mempersendakan juri MLM, Luna Maya pada musim lalu.
Nabil berkata, dia juga berasa pelik apabila bahan jenakanya sering dikecam oleh segelintir pihak sedangkan ada pelawak lain yang mempersembahkan bahan jenaka yang lebih sensitif daripadanya.
Tambahnya lagi, memandangkan dia tidak melihat isu ini sebagai perkara yang salah, dia tidak akan mempedulikan pertikaian remeh itu.
"Tak adillah untuk saya serangan-serangan macam ini, tapi tak apa, saya takkan patah semangat untuk terus berjuang dalam MLM."

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED